KUALA LUMPUR: Bekalan ayam pada masa ini adalah stabil dan faktor ini sekali gus menyumbang kepada kestabilan harga ayam semasa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pemantauan yang dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menunjukkan purata harga ayam di ladang yang direkodkan di seluruh Semenanjung selama empat bulan sejak November 2023 adalah stabil.

"Purata harga ayam di ladang yang direkodkan di seluruh Semenanjung Malaysia semenjak November 2023 ialah RM5.85 per kilogram (/kg), Disember 2023 ialah RM6.39/kg, Januari 2024 RM6.13/kg dan Februari 2024 RM6.03/kg," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin tahu adakah harga ayam naik mendadak atau menghadapi kekurangan bekalan di pasaran selepas pemansuhan subsidi dan kawalan harga serta sama ada subsidi telur gred A, B dan C akan diteruskan.

Mohamad berkata pada masa ini, kerajaan berpandangan subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C diteruskan dengan menggunakan mekanisme sedia ada dan sebarang perubahan dasar akan mengambil kira semua faktor khususnya trend bekalan semasa.

Menjawab soalan tambahan Sim yang ingin tahu sama ada kerajaan akan menggunakan semula mekanisme Approved Permit (AP) untuk mengawal bekalan ayam supaya tidak berlaku lambakan, Mohamad berkata keputusan sama ada kerajaan akan menyekat import ayam dari luar atau sebaliknya bergantung kepada keadaan pasaran dari semasa ke semasa.

"Memang harga ayam agak stabil dan harga import makanan jagung dan soya juga agak stabil kebelakangan ini. Kita yakin ia akan lebih stabil jika ringgit beransur kukuh dan ringgit kita mulai mengukuh hari ini.

"Kita harap ia berterusan dan akan menjadikan import khasnya bahan-bahan makanan ternakan ini menurun," katanya.

-- BERNAMA